Thursday, August 25, 2011

Terima Kasih Pak Darwin…!


Gambar kenangan bersama Pak Darwin dan isteri.
Di celah-celah kesibukan minggu ke-4 Ramadan al-Mubarak, pada 22 Ogos 2011, staf JKBR masih berkesempatan untuk menganjurkan suatu majlis ringkas berbuka puasa serta doa selamat. Majlis tersebut diadakan khusus buat Prof. Dr. Ing. Darwin Sebayang yang akan kembali ke Indonesia setelah berkhidmat di UTHM selama 10 tahun sejak 2001. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Darwin' hadir ke majlis tersebut bersama-sama isterinya. Majlis ringkas tersebut telah dilangsungkan pada jam 7.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Kompleks Teknologi FKMP.

Selain meraikan Pak Darwin dan isteri, majlis ini juga diadakan bagi mendoakan kesejahteraan pengantin baru JKBR iaitu En. Fazlan (Juruteknik), serta kesihatan dan keselamatan buat anak kepada En. Asyari (Pengajar / Ketua Makmal) yang mengalami masalah jantung, dan En. Joharudin (Juruteknik Kanan) yang sedang keuzuran. Majlis yang dirancang secara 'ad-hoc' ini telah diizinkan Allah SWT untuk berlangsung dengan sempurna biarpun tidak dapat dihadiri oleh seluruh staf JKBR.

Pada majlis tersebut, Dr. Nur Azam selaku wakil Ketua Jabatan JKBR, di dalam ucapan ringkasnya, telah merakamkan penghargaan kepada Pak Darwin atas usaha beliau memajukan jabatan dan fakulti. Sementara itu, Pak Darwin di dalam ucapan perpisahannya pula melahirkan rasa terharu dan teruja di atas penganjuran majlis tersebut yang kebetulan pula jatuh pada tarikh ulang tahun beliau ke-62. Selain itu, beliau juga menyarankan agar staf JKBR akan terus berusaha memajukan diri dan jabatan pada hari-hari mendatang. Sebelum menutup ucapan beliau dengan pantun, Pak Darwin juga mengumumkan bahawa beliau telah menerima panggilan ke Baitullah pada musim haji ini. Perjalanan majlis diberkati dengan bacaan doa selamat oleh Tn. Hj. Abd. Khalil serta disusuli oleh doa berbuka oleh Tn. Hj. Mohd Azwir. Majlis diakhiri dengan jamuan berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah.

Buat, Pak Darwin, terima kasih atas segalanya. Semoga sentiasa dipelihara dan diberkati Allah SWT.

No comments:

Post a Comment