Jumaat, 25 Nov 2011 - Jabatan Kejuruteraan Bahan Dan Rekabentuk (JKBR) hari ini menganjurkan majlis kesyukuran dan doa selamat sempena keberangkatan salah seorang staf JKBR iaitu En. Mohd Nizam bin Katimon melanjutkan pengajian ke United Kingdom. Dr. Nur Azam Badarulzaman selaku wakil Ketua Jabatan JKBR telah menyampaikan ucapan aluan dan perangsang. Dr. Nik Hisyamuddin juga turut memberikan ucapan ringkas selaku wakil Ketua Panel Rekabentuk. Sebagai tanda ingatan, Dr. Nur Azam telah menyampaikan cenderahati bagi pihak JKBR kepada En. Mohd Nizam. Khusus bagi memberkati perjalanan En. Mohd Nizam, doa selamat telah dipanjatkan oleh Tn. Hj. Abd Khalil serta diaminkan oleh para hadirin.
Bakal mendalami bidang pengajian kejuruteraan rekabentuk di University of Strathclyde, En. Mohd Nizam turut membawa keluarga beliau bersama-sama bagi menemani beliau sepanjang tiga tahun di sana. Bagaimanapun, apa yang lebih menarik ialah tarikh cuti belajar beliau ditakdirkan berselisih dengan tarikh sambutan Awal Muharram. Oleh itu, adalah diharapkan semangat Maal Hijrah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat kekal merah membara buat beliau di sepanjang perjalanan menimba ilmu di negara orang. Bagi pihak JKBR khasnya dan FKMP amnya, semoga En. Mohd Nizam sekeluarga sentiasa dikurniakan segala kebaikan dan kebajikan oleh Allah SWT agar dipermudah serta diperlicinkan pengembaraan menakluki segulung ijazah PhD.
No comments:
Post a Comment